ROGER2!

..ASSALAMUA'LAIKUM..SALAM MAHABBAH BUAT SEMUA..

SALAM MAHABBAH

Inginku kongsikan tatapan ini untuk hatiku dan hati ukhtifillah.. "Mukmin itu jiwanya damai, tak mudah tergoncang oleh ujian. Baginya ujian sebagai TARBIYAH dari Allah, tanda KASIH SAYANGNYA, jua PENGHAPUS DOSA"

Selasa, 30 November 2010

CINTA? DIMANA LETAKNYA?

Anda pernah bercinta?
Dengan siapa?

Ada orang kata, cinta ini ibarat garam dalam masakan. Jika tiada langsung, akan membuatkan makanan itu menjadi tawar dan kurang rasanya, jika berlebihan pula, makanan akan menjadi terlalu masin dan hilang pula selera kita. Tetapi, jika digunakan dengan sederhana, maka makanan itu akan menjadi sedap lagi menyelerakan.

Saya, sependapat dengan kata-kata itu.

Cinta memang ibarat garam dalam masakan. Jika tiada langsung cinta di dalam kehidupan kita, maka hidup kita akan menjadi ‘tawar’, tak bermakna, kosong tiada gembira. Tetapi, jika cinta itu berlebihan, maka ia akan memusnahkan diri. Hal ini kerana, emosi itu biasanya memperkudakan pemikiran. Namun jika cinta itu dikawal, disalurkan ke arah yag betul, maka hidup akan menjadi indah dan menyenangkan.

Persoalannya, kepada siapakah cinta hendak kita letakkan?

Saya suka dengan satu kata-kata Al-Mutanabbi berkenaan cinta. Katanya:

“ Cinta itu lebih tua dari alam ini, kerana atas dasar cintalah TUHAN menciptakan alam ini”

Kalau kita perhatikan, atas dasar cinta dan kasih sayang jugalah ALLAH menghantarkan rasul kepada manusia untuk menjaga manusia, memandu kita ke jalan kebenaran. Atas dasar cinta dan kasih sayang jugalah ALLAH memberikan kita nikmat yang pelbagai, dan memberikan kita ruang untuk bertaubat walaupun menggunung dosa telah kita lakukan.

Ternyata, cinta dan kasih sayang ALLAH kepada kita, memang luas tanpa sempadan.

Tetapi, kepada siapakah cinta kita letakkan?
Perumpamaan cinta ibarat garam tadi, sering manusia gunakan untuk cinta lelaki dan perempuan. Alasannya, tanpa cinta, maka tidak indah dunia.

Ya, saya juga mengakuinya. Cinta lelaki perempuan memang lumrah, fitrah manusia, hadiah daripada ALLAH. Tetapi, apakah benar itu cinta kita yang utama?

Ramai orang nampak, cinta itu dengan perempuan. Ramai orang nampak, cinta itu dengan teman lelaki. Kalau cinta itu, mesti dengan suami isteri. Begitulah kebanyakan manusia melihat dan meletakkan cinta. Bagi yang ada semangat patrioritik, maka cintanya akan berkait dengan negara. Bagi yang ada jiwa sastera, maka cintanya bersambung dengan bahasa.

Tetapi pada saya, cinta-cinta itu bukanlah cinta yang mesti kita cari terlebih dahulu. Cinta-cinta itu, jika diambil pada sudut itu sahaja, ia akan menjadi cinta yang murah, luput ditelan zaman, dan akan hilang tanpa jejakan.

Cinta pertama kita sepatutnya dengan ALLAH SWT, yang telah menciptakan kita dengan segala kasih sayangNya. Hal ini kerana, saya melihat, cinta kepada ALLAH SWT, akan membuahkan cinta kepada yang lain-lainnya. Siapa yang memulakan cintanya kepada perkara lain, dengan mencintai ALLAH terlebih dahulu, maka secara automatiknya, cintanya kepada perkara lain itu akan menjadi mahal, utuh, kekal, malah mampu menembus akhirat.

Hal ini kerana, segala apa yang kita lakukan kerana ALLAH, akan menjadi ibadah untuk kita. Pastinya, bila kita nyatakan kerana ALLAH di sini, bukanlah hanya mulut sahaja yang pandai berbicara, tetapi amal kita juga dipastikan terjaga. Kerana ALLAH, maka tiada lorong maksiat yang menjadi jalan kita dalam menyambung cinta.

Hamka ada berkata,

“ Cinta itu suci, cinta itu tidak buta, cinta itu adalah kepunyaan ALLAH semata-mata. Yang tidak suci dan buta hanyalah orang yang salah menggunakan cinta.”

Kita lihat, ramai manusia hari ini melihat cinta itu murah. Kenapa? Kerana sudah terlalu banyak kes manusia tergadai maruah kerana cinta, manusia menjadi gila kerana cinta, manusia bunuh diri kerana cinta, dan pelbagai lagi kes yang buruk berlaku kerana cinta.

Mari kita lihat dan rujuk semula, bagaimanakah cinta-cinta mereka itu? Adakah didirikan atas dasar keimanan dan taqwa kepada ALLAH? Apakah digerakkan atas niat untuk mencpaai redhaNya?

Cinta itu mahal sebenarnya. Amat mahal. Berharga, dan penting. Cuma, kesilapan manusia meletakkan cinta, dan jahilnya mereka untuk memulakan gerakan cinta mereka, membuatkan cinta itu kelihatan murah, sehinggakan ada yang menjauhi cinta itu sendiri.

Di manakah anda meletakkan cinta anda?
Dengan siapakah anda bercinta?

Marilah kita bermuhasabah, letakkanlah cinta kita di tempat yang benar, mulakanlah cinta kita dengan permulaan yang betul. Semoga hidup kita terang benderang, dengan sumber cinta daripadaNya yang tidak akan kunjung malap, menembus hingga ke akhirat tanpa kelam.

Sumber : http://ms.langitilahi.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan