Soalan:
Bolehkan perempuan muslim membunuh dirinya jika dia yakin 100% yang dia akan dirogol oleh sekumpulan lelaki? Jazakum Allah khayran.
Jawapan:
Pertamanya, perempuan Muslim mesti cuba sedaya-upayanya untuk mentaati ajaran Islam dan mematuhi akhlak Islam, terutamanya apabila berurusan dengan lelaki.
Jika dia diancam secara seksual oleh perogol, dia ada hak untuk mempertahankan dirinya. Namun, dia tidak dibenarkan untuk membunuh dirinya kerana sebarang sebab kerana membunuh diri adalah Haram (dilarang). Hanya Allah mengetahui yang ghaib. Dia mungkin tidak tahu akibat cubaan jenayah mereka; mereka mungkin gagal dalam melaksanakan rancangan jahat mereka.Dalam hal ini kita ingin menjelaskan yang seorang perempuan Muslim berdepan dengan dua kemungkinan: (1)Dia terdedah untuk menjadi mangsa rogol atau serangan seksual dan (2) ini mungkin mendorong dia membunuh diri, satu perbuatan yang terlarang. Di sini kita bayangkan kejadian dua mudarat, salah satunya, berkaitan membunuh diri, yang pasti, sedangkan yang satu lagi, berkaitan dirinya terdedah kepada rogol, sesuatu yang mungkin, tetapi tidak pasti. Maka, dalam hal ini, membunuh diri tidak dibenarkan.
Lagi pun, kita mesti menimbangkan kesan buruk antara membunuh diri dengan rogol atau serangan seksual. Rogol atau serangan seksual kurang mudarat dibandingkan dengan membunuh diri. Disamping itu, memelihara nyawa ialah kewajipan kehidupan, sedangkan matlamat lain, seperti memelihara maruah seseorang, jatuh ke tempat kedua dikalangan matlamat-matlamat asas yang Islam ingin capai. Maka, tidak dibenarkan bagi seorang perempuan, mangsa rogol, untuk membunuh diri.
Menjawab persoalan tersebut, ulama, penulis dan pensyarah Islam Saudi terkenal Sheikh Muhammad Saleh Al-Munajjid menyatakan:
“Seorang perempuan yang dipaksa untuk melakukan Zina wajib mempertahankan dirinya dan tidak sepatutnya mengalah, walaupun jika dia membunuh orang yang ingin merogolnya. Mempertahankan diri merupakan kewajipan, dan dia tidak bersalah jika dia membunuh orang yang ingin memaksanya melakukan persetubuhan."
Rasulullah (SAW) diriwayatkan bersabda:
“Sesiapa yang terbunuh dalam mempertahankan hartanya ialah syahid, Sesiapa yang terbunuh dalam mempertahankan dirinya ialah syahid, Sesiapa yang terbunuh dalam mempertahankan agamanya ialah syahid, dan sesiapa yang terbunuh dalam mempertahankan keluarganya ialah syahid.” (Riwayat Imam Ahmad dan Ibn Hibban)
Disamping itu, seorang perempuan tidak dibenarkan membunuh dirinya kerana takut dirogol. Seorang perempuan Muslim yang baik diwajibkan menangkis serangan penyerang, tetapi dia tidak dibenarkan pergi keterlaluan dan membunuh dirinya. Jika dia membunuh dirinya, maka dia melakukan perbuatan yang Haram. Rasulullah (SAW) diriwayatkan bersabda:
“Manusia daripada Ummat ku tidak dipertanggung-jawabkan atas perbuatan yang mereka lakukan kerana tersilap, atas perbuatan yang mereka lakukan kerana terlupa, dan atas perbuatan yang mereka dipaksa melampaui kemampuan mereka.”
Allah (SWT) berfirman,
“…, kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman. …” (An-Nahl: 106)”
Terjemahan daripada: Suicide to Escape Rape
Penterjemah: zulyusoff
Tiada ulasan:
Catat Ulasan